Flower Facts

7 Fakta Menarik tentang Bunga Raya, Bunga Kebangsaan Malaysia

national flowers olympic country, Bunga raya bunga kebangsaan Malaysia
7 Fakta Menarik tentang Bunga Raya, Bunga Kebangsaan Malaysia

Artikel ini dikemas kini terakhir pada 23 Disember 2024.

Kami di White On White sangat menghargai kecantikan dan keunikan setiap flora yang ada di atas muka bumi ini. Sama ada bunga tempatan mahupun bunga luar negara, kesemuanya ada keistimewaan yang tersendiri.

Bunga raya yang sangat sinonim dengan Hari Merdeka, 31 Ogos setiap tahun sering ditanam di hadapan rumah sebagai tanaman hiasan yang menaikkan seri landskap rumah. Ada juga yang menggunakannya sebagai bahan aksesori seperti cekak, tudung, pin ketika sambutan Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia.

Tapi, anda tahu tak sebenarnya ada 7 fakta menarik tentang bunga raya yang mungkin anda tak pernah tahu selama ini? Yup, betul tu! Siapa sangka bunga yang kita anggap biasa ini sebenarnya mempunyai 1001 rahsia yang hebat.

Sebelum itu, pernah tak anda tertanya-tanya kenapa bunga raya dipilih sebagai bunga kebangsaan Malaysia? Jom kita bongkar sama-sama semua keunikan dan keajaiban di sebalik bunga raya yang mungkin selama ini kita terlepas pandang.

Bunga Raya adalah Identiti Kebangsaan

Pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Bila kita bercakap tentang bunga raya, mungkin perkara pertama yang terlintas di fikiran kita ialah itu bunga kebangsaan Malaysia. Iyelah, siapa yang tidak tahu kan? Untuk Malaysia, bunga raya adalah simbol kebangsaan yang melambangkan identiti negara. Setiap kali sambutan hari merdeka, pasti bunga raya akan menjadi hiasan untuk pelbagai majlis atau acara rasmi kemerdekaan, logo hari merdeka, poster merdeka, dan sebagainya yang menunjukkan semangat patriotik dan kebanggaan negara.

Antara sebab mengapa Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memilih bunga raya sebagai bunga kebangsaan adalah kerana ia bukan bunga kebangsaan mana-mana negara lain ketika itu.

Bunga Raya Turut Merupakan Bunga Kebangsaan Selain Malaysia

Tetapi sekarang, terdapat beberapa buah negara lain yang turut menjadikan bunga raya sebagai bunga kebangsaan mereka! Bahkan spesies yang menjadi bunga kebangsaan Malaysia iaitu Hibiscus Rosa-Sinensis juga serupa dengan negara lain tersebut kecuali Korea Selatan.

  1. Jamaica: 
  2. Haiti
  3. Papua New Guinea
  4. Korea Selatan: Mugunghwa (Hibiscus Syriacus)

Penggunaan Bunga Raya dalam Perubatan Tradisional

Dalam perubatan tradisional, bunga raya digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. Contohnya, dalam perubatan Cina dan Melayu, ia dipercayai mempunyai sifat penyembuhan yang boleh membantu merawat batuk, demam, dan pelbagai gangguan kesihatan lain.

  1. Mengawal Tekanan Darah:
    • Daun dan bunga raya sering dijadikan teh dan dikatakan rasanya seperti buah cranberry. Kebaikan bunga raya ini ialah ia mempunyai kesan anti-radang dan anti-oksidan, membantu dalam merawat masalah pencernaan, meredakan batuk, dan mengurangkan tekanan darah.
  2. Meredakan Penyakit Kulit:
    • Sifat anti-radang yang terdapat pada bunga raya membantu meredakan keradangan dan kemerahan pada kulit. Jadi, dalam beberapa tradisi, bunga ini digunakan untuk merawat masalah kulit seperti jerawat, eczema, dan kulit kering. 
  3. Menurunkan Suhu Demam:
    • Penggunaan lendir bunga raya untuk menurunkan suhu demam adalah salah satu amalan perubatan tradisional yang telah lama dipraktikkan di beberapa budaya termasuklah di Malaysia sendiri. Lendir bunga raya, yang biasanya diperoleh dari bunga atau daun, dikatakan mempunyai sifat-sifat yang dapat membantu dalam mengurangkan suhu badan. Kalau pada zaman dahulu sewaktu kita masih kecil, golongan ibu sering menggunakan alternatif ini dan mungkin masih ada yang mengamalkannya sehingga kini. 

Ekstrak Bunga Raya dalam Kosmetik untuk Kecantikan

Ekstrak Bunga Raya dalam Kosmetik untuk Kecantikan, 7 Fakta Menarik tentang Bunga Raya, Bunga Kebangsaan Malaysia

Bunga raya bukan sahaja menarik kerana kecantikannya, tetapi juga kerana khasiatnya yang boleh menyumbang kepada penjagaan kulit dan rambut secara efektif. Ini menjadikannya bahan yang popular dalam pelbagai produk kosmetik dan penjagaan diri.

  1. Melebatkan dan Melembutkan Rambut:
    • Penggunaan lendir bunga raya untuk melebatkan dan melembutkan rambut adalah satu amalan tradisional yang mempunyai manfaat berdasarkan sifat semulajadinya. Lendir bunga raya mengandungi pelbagai komponen aktif termasuk polisakarida, flavonoid, dan vitamin, yang dikatakan memberi manfaat dalam penjagaan rambut. Polisakarida membantu dalam melembapkan rambut dan kulit kepala, sementara flavonoid dan vitamin menyokong kesihatan rambut. Selain itu, penggunaan ekstrak bunga raya ini jugak dapat mengurangkan rambut kerinting.
  2. Melembapkan Kulit:
    • Bunga raya mempunyai sifat pelembap yang membantu mengekalkan kelembapan dan keanjalan kulit. Banyak produk masker muka atau facial mask menggunakan ekstrak bunga raya untuk mengurangkan kedutan wajah dan mencerahkan tona kulit. Selain itu, bunga raya juga sering dijadikan bahan dalam krim, losyen, dan serum untuk memberikan khasiat tambahan kepada kulit. Ekstrak bunga raya juga boleh ditemui dalam sabun dan pembersih muka untuk membersihkan kulit sambil memberikan manfaat tambahan.
  3. Ejen Anti-Penuaan:
    • Bunga raya kaya dengan antioksidan seperti vitamin C yang membantu melawan radikal bebas dan mengurangkan tanda-tanda penuaan. Selain itu, ia juga mengandungi Asid Alpha-Hydroxy (AHA) yang membantu merangsang pengelupasan kulit, membuang sel-sel kulit mati, dan merangsang pembaharuan sel kulit baru.

Bunga Raya Sumber Pewarna Semulajadi

Bunga Raya Sumber Pewarna Semulajadi, 7 Fakta Menarik tentang Bunga Raya, Bunga Kebangsaan Malaysia

Bunga raya telah lama dikenali sebagai sumber pewarna semulajadi yang digunakan dalam pelbagai aplikasi, dari kosmetik hingga makanan dan tekstil. Pewarna diperoleh melalui ekstraksi bahan aktif dari bunga raya, yang kemudian boleh digunakan dalam pelbagai formulasi. Proses ini melibatkan penggunaan pelarut untuk mendapatkan warna dari kelopak bunga. Kadang-kadang, bunga raya dikeringkan dan digiling menjadi serbuk untuk digunakan sebagai pewarna. Serbuk ini boleh ditambah terus ke dalam produk atau dicampur dengan bahan lain.

  1. Pewarna dalam Makanan dan Minuman:
    • Bunga ini sering digunakan untuk membuat minuman seperti teh hibiscus, yang mempunyai warna merah yang menarik. Pewarna semulajadi ini memberikan minuman warna yang cerah dan juga mempunyai rasa yang unik. Selain itu, ekstrak bunga raya digunakan dalam penyediaan pencuci mulut, sirap, dan produk makanan lain untuk memberikan warna merah yang alami. Ini adalah alternatif kepada pewarna tiruan yang sering digunakan dalam makanan.
  2. Pewarna dalam Tekstil:
    • Bunga raya boleh digunakan untuk mewarnakan kain secara semulajadi. Ekstrak bunga raya digunakan untuk mencelup kain dalam proses pewarnaan, memberikan warna merah yang berbeza-beza bergantung kepada cara penggunaan dan konsentrasi. Dalam kraftangan dan seni, bunga raya digunakan untuk mencipta warna yang indah pada pelbagai bahan, termasuk kertas dan barang-barang hiasan.
  3. Pewarna Menghitamkan Rambut dan Bulu Mata:
    • Penggunaan ekstrak bunga raya yang layu untuk menghasilkan jus berwarna biru kehitaman digunakan untuk menghitamkan rambut atau bulu merupakan tradisi yang telah diamalkan dalam beberapa budaya, termasuk di China dan India. Bunga raya dikumpulkan dan biasanya dikeringkan sebelum digunakan. Dalam kes ini, bunga raya yang layu atau kering digunakan kerana ia mengandungi kepekatan pigmen yang lebih tinggi. Tetapi, warna yang dihasilkan dari bunga raya mungkin tidak tahan lama berbanding pewarna kimia, dan mungkin memerlukan penyegaran secara berkala.

Terdapat Lebih daripada 200 Spesies Bunga Raya

Terdapat banyak spesies bunga raya di seluruh dunia dan jumlahnya boleh berubah mengikut klasifikasi dan penemuan baru dalam botani. Secara keseluruhan, terdapat lebih daripada 200 spesies bunga raya yang dikenal pasti dalam genus Hibiscus. Berikut adalah beberapa spesies utama dan terkenal:

1. Hibiscus rosa-sinensis

Hibiscus rosa-sinensis

Bunga kebangsaan Malaysia, yang dikenali sebagai bunga raya, atau nama saintiknya spesies Hibiscus rosa-sinensis. Spesies ini dikenali dengan kelopak besar dan berwarna merah cerah, walaupun terdapat varieti dengan pelbagai warna seperti putih, kuning, dan merah jambu.

Bunga raya Malaysia ini adalah spesies yang paling terkenal dan sering digunakan dalam landskap dan hiasan di Malaysia. Keindahan dan kepentingannya dalam budaya Malaysia telah menjadikannya simbol nasional yang melambangkan keagungan, kekuatan, dan identiti negara.

2. Hibiscus sabdariffa

The-roselle-Hibiscus-sabdariffa

Nama yang biasa dipanggil untuk spesies ini ialah Roselle atau Bunga Raya Roselle. Spesies ini terkenal dengan kelopak merah dan buahnya yang digunakan dalam teh herba dan makanan. Ia dikenali kerana memiliki kandungan antioksidan dan sifat perubatan yang boleh dijadikan alternatif kepada perubatan moden.

3. Hibiscus syriacus

hibiscus-syriacus

Hibiscus syriacus, sering dikenali sebagai Bunga Raya Korea atau Althea dan bunga ini adalah bunga kebangsaan Korea Selatan yang dikenali dengan nama tempatan Mugunghwa (무궁화). Spesies bunga raya ini popular di banyak kawasan beriklim sederhana yang mempunyai empat musim yang berbeza termasuk Korea, China, dan Jepun dan subtropika. Bunga ini biasanya mekar dari musim panas hingga awal musim luruh. Salah satu ciri khasnya adalah kelopaknya yang berbentuk corong dan terdapat warna bunga yang bervariasi termasuk putih, merah, biru dan ungu.

4. Hibiscus mutabilis

Hibiscusmutabilis

Hibiscus mutabilis, dikenali juga sebagai Bunga Raya Harimau atau Confederate Rose, adalah spesies bunga raya yang menarik dengan beberapa ciri khas. Salah satu ciri yang paling menarik tentang bunga raya ini ialah perubahan warna bunga sepanjang hari. Bunga mula mekar dengan warna putih, kemudian berubah menjadi merah jambu, dan akhirnya ke merah terang sebelum layu. Proses perubahan warna ini menjadikannya sangat unik dan menarik untuk penanaman di taman.

Bunga raya spesies ini biasanya besar yang mempunyai diameter antara 10 cm hingga 15 cm. Kelopak bunganya pula mempunyai bentuk corong dan sedikit berlipat. Hibiscus mutabilis boleh tumbuh dalam iklim subtropika hingga tropika dan memerlukan iklim yang cukup panas dan matahari penuh untuk berkembang dengan cantik.

5. Hibiscus grandiflorus

Hibiscus grandiflorus

Hibiscus grandiflorus, sering dikenali sebagai Bunga Raya Berbunga Besar kerana diameternya boleh mencapai 15 cm hingga 20 cm. Bunga raya spesies ini biasanya berwarna merah, merah jambu, atau ungu. Hibiscus grandiflorus memerlukan pendedahan penuh matahari untuk pertumbuhan yang optimum dan pembungaan yang banyak. Jadi, lokasi yang terdedah dengan cahaya matahari langsung adalah yang terbaik untuk pembiakan bunga raya ini.

Bunga Raya Sebagai Ikon dalam Sukan

7 Fakta Menarik tentang Bunga Raya, Bunga Kebangsaan Malaysia, logo sukan komanwel kuala lumpur 1998
Sumber: Wikipedia

Bunga raya merupakan elemen penting dalam logo Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998. Logo yang dikenali sebagai “Kuala Lumpur 98,” menggunakan bunga raya sebagai simbol utama dan mencerminkan identiti dan semangat tuan rumah Malaysia dalam acara sukan berprestij ini.

Selain itu, dalam banyak acara sukan, bunga raya sering dijadikan sebagai elemen reka bentuk pada cenderamata, aksesori sukan, atau pakaian rasmi. Contohnya, bunga raya dipaparkan pada jersi atau bendera pasukan, sebagai lambang sokongan dan penyatuan. 

Bunga Raya lebih dari sekadar Bunga Kebangsaan Malaysia

Secara keseluruhan, bunga raya adalah simbol kecantikan dan kekuatan yang mempunyai aplikasi yang luas dalam budaya, penjagaan diri, dan industri. Penggunaannya dalam pelbagai bidang menonjolkan kepentingan dan kebergunaannya yang melampaui sekadar hiasan, mencerminkan kepelbagaian manfaatnya dalam kehidupan sehari-hari.

Anda nak tahu info lanjut tentang bunga-bunga yang lain selain daripada bunga raya? DI SINI ada kami tulis beberapa artikel yang mungkin boleh menambah ilmu anda dan dijadikan panduan untuk kegunaan masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *